Aminuddin
Baki dilahirkan pada 6 Januari 1926 di sebuah kampung dalam daerah
kecil Chemor di Perak. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah
Melayu. Beliau meneruskan pelajaran di Sekolah Anderson, Ipoh.Aminuddin
belajar di sekolah tersebut dari tahun 1936 hingga 1941.Sekitar tahun
1945 hingga 1946 beliau mula menunjukkan minat dengan persatuan pelajar.
Beliau sangat kagum dengan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu yang
ditubuhkan pada 20 November 1945 di Victoria Institution, Kuala Lumpur.
Aminuddiin telah menubuhkan Persatuan Pelajar di Perak yang dikenali
sebagai Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI) pada bulan April
1946. Pada masa ini UMNO telah ditubuhkan
bagi menentang penubuhan Malayan Union. Dalam masa yang sama
pemimpin-pemimpin persatuan pelajar digalakkan berusaha ke arah
pencapaian matlamat mereka. Oleh kerana itu, Aminuddin dan pemimpin
pelajar lain mengambil keputusan untuk menubuhkan persatuan yang lebih
kuat. Tujuh persatuan telah bersidang selama dua hari di Jalan Tambun,
Ipoh. Hasil daripada persidangan itu terbentuklah Gabungan
Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 15 Ogos 1948. Walau
bagaimanapun pada tahun 1949 Aminuddin terpaksa berhenti bergiat aktif
dalam persatuan pelajar kerana ditawarkan ke Universiti Malaya,
Singapura. Dalam tahun 1950, beliau bergiat aktif dalam GPMS dan
dilantik sebagai Yang Dipertua persatuan. Dalam tahun yang sama beliau
telah lulus peperiksaan Sarjana Sastera dan pada tahun berikutnya, lulus
Ijazah Kepujian Sarjana Sastera.
Selepas menamatkan pelajarannya pada
tahun 1951, Aminuddin kembali ke Perak dan menjadi guru di Sekolah
Inggeris Sultan Yusuf di Batu Gajah untuk sebentar waktu dan kemudian,
berkhidmat di Sekolah Anderson hingga Julai 1952. Selepas itu, beliau
melanjutkan pelajarannya dalam bidang pendidikan di Institut Pendidikan,
Universiti London dengan Biasiswa Ratu dan meninggalkan Pulau Pinang
menaiki kapal pada 12 Julai 1952. Aminuddin memperoleh Ijazah Sarjana
Kaedah-kaedah dalam bidang pendidikan pada bulan Julai 1953. Selepas
pulang ke tanah air, beliau ditawarkan jawatan Pensyarah di Maktab
Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim. Beliau memperkenalkan Sejarah
Islam kepada pelajar tetapi tidak termasuk dalam sukatan pelajaran. Pada
bulan September 1955, Aminuddin terlibat dalam menyediakan Laporan
Pendidikan Razak dan pada tahun 1960, beliau dipilih sebagai ahli
jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Abdul Rahman Talib.
Ketika berusia 36 tahun, Aminuddin dilantik menjadi Ketua Pegawai
Pendidikan Selangor pada 1962, dan pada tahun yang sama menjadi Ketua
Penasihat Pendidikan Malaysia (kini dikenali sebagai Ketua Pengarah
Pendidikan). Pada masa yang sama, beliau aktif dalam persatuan dan
pertubuhan lain seperti Senat Universiti Malaya, Persatuan Al-Rahman,
Persatuan Sejarah Tanah Melayu dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau juga
mewujudkan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM), dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Aminuddin
menubuhkan Lembaga Peperiksaan Malaysia pada tahun 1963. Beliau
diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai perancang pendidik yang
bijaksana dan berpandangan jauh di Asia oleh United Nations Educational,
Scientific and Cultural Organization (UNESCO). Beliau meninggal dunia pada 24 Disember 1965 pada usia muda 39 tahun.
Antara sumbangan Aminuddin Baki adalah
seperti Memperkenalkan Sejarah Islam kepada guru-guru pelatih di Maktab
Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. (tetapi tidak termasuk
dalam sukatan pelajaran), Melibatkan diri dalam penyediaan Penyata
Razak pada tahun 1955, Menjadi ahli jawatankuasa penasihat dalam
menyiapkan Laporan Rahman Talib pada tahun 1960, Mewujudkan Sijil rendah
Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan Sijil Tinggi
Pelajaran Malaysia (STPM) serta Menubuhkan Lembaga Peperiksaan Malaysia.
Sumber : http://cmslib.uum.edu.my/m2011/index.php/en/tokoh-pendidikan?id=80

Tidak ada komentar:
Posting Komentar